Solar terletak pada kualiti, bukan kuantiti
“Kami bagi 15 keping panel, dia bagi 12 sahaja.” Ayat itu kedengaran meyakinkan — tetapi bilangan keping sebenarnya tidak memberitahu apa-apa tentang berapa banyak tenaga yang anda akan dapat.
Bilangan keping bukan ukuran — kWp yang menjadi ukuran
Setiap panel ada kuasa terkadarnya sendiri dalam watt. Saiz sistem dikira daripada jumlah kuasa semua panel, bukan daripada berapa keping ia dibahagikan.
Jadi apabila dua sebutharga dibandingkan, baris pertama yang patut dicari ialah jumlah kWp dan model panel. Bilangan keping hanya bermakna selepas kedua-dua itu diketahui.
Lima perkara yang lebih menentukan hasil
| Perkara | Kenapa ia lebih penting daripada bilangan keping |
|---|---|
| Padanan dengan penggunaan | Sistem yang sepadan dengan corak penggunaan anda memberi penjimatan lebih baik daripada sistem besar yang tenaganya tidak sempat diguna. |
| Kecekapan panel | Dinyatakan dalam peratus (%), bukan watt. Inilah yang menentukan berapa banyak kWp muat bagi setiap meter persegi bumbung — penting apabila ruang terhad. |
| Padanan inverter | Nisbah DC:AC, bilangan MPPT dan kapasiti inverter menentukan sama ada tenaga panel benar-benar sampai ke rumah. |
| Reka bentuk & teduhan | Susunan string yang salah boleh menyebabkan satu kawasan teduh menjejaskan panel lain dalam string yang sama. |
| Kualiti pemasangan | Rel, pengikat, penyambung dan kemasan bumbung menentukan sama ada sistem bertahan 20 tahun atau menyusahkan dalam 3 tahun. |
Yang menentukan muat atau tidak ialah kecekapan, bukan watt
Ini bahagian yang paling kerap disalah faham. Panel 620 W bukan sahaja lebih berkuasa — ia juga lebih besar fizikalnya daripada panel 490 W. Dalam ruang bumbung yang sama, anda muat lebih sedikit keping.
Jadi berapa banyak kWp yang muat di atas bumbung anda ditentukan oleh kecekapan modul (%) — berapa banyak watt dihasilkan bagi setiap meter persegi — bukan oleh angka watt pada setiap keping.
Dalam ruang yang sama, jumlah kWp kedua-duanya boleh jadi hampir sama jika kecekapannya hampir sama. Sebab itu perbandingan yang betul bukan “490 W lawan 620 W”, tetapi kecekapan (%) dan jumlah kWp yang muat di bumbung anda.
Menambah panel tidak semestinya menambah penjimatan
Penjimatan paling besar datang daripada tenaga yang anda guna sendiri semasa ia dijana. Jika sistem dibesarkan melebihi keperluan, lebihan itu dieksport ke grid pada nilai yang bergantung kepada terma program semasa — dan selalunya bukan pada kadar yang sama seperti tarif yang anda bayar.
Sistem yang terlalu besar juga bermakna kos di hadapan lebih tinggi, lebih banyak ruang bumbung digunakan, dan lebih banyak sambungan untuk diselenggara — tanpa penjimatan yang setimpal.
Bila “lebih banyak panel” jadi alat jualan
Lima soalan sebelum membandingkan sebutharga
Berapa jumlah kWp sistem ini, dan apa model panelnya?Bilangan keping tanpa dua maklumat ini tidak boleh dibandingkan.
Berapa kapasiti inverter dan nisbah DC:AC yang dicadangkan?Serta bilangan MPPT — penting jika bumbung menghadap lebih daripada satu arah.
Boleh tunjukkan susun atur panel pada pelan bumbung saya?Termasuk kawasan yang sengaja dikosongkan kerana teduhan.
Saiz ini berdasarkan penggunaan saya yang mana?Minta rujukan kepada bil sebenar, bukan anggaran umum.
Jika saya nak tambah bateri atau pengecas EV nanti, cukupkah ruang & kapasiti?Lebih murah merancang dari awal daripada mengubah kemudian.
Angka dalam artikel ini (490 W, 620 W, 7.35 kWp, 7.44 kWp) ialah contoh ilustrasi untuk menerangkan kiraan, bukan cadangan produk atau sebut harga. Panel berkuasa lebih tinggi bukan automatik “lebih baik” — ia juga lebih besar fizikalnya, dan yang menentukan ialah padanan keseluruhan: kecekapan modul, kWp berbanding penggunaan, inverter, reka bentuk dan kualiti pemasangan. Saiz sebenar, kecekapan dan bilangan panel yang sesuai mesti diambil daripada datasheet model yang dicadangkan dan ukuran bumbung anda sendiri.
Keliru membandingkan dua sebutharga yang berbeza bilangan panel?
Hantar kedua-dua sebutharga kepada SolarGo Energy. Kami tukarkan kepada perbandingan yang sama — kWp, model, inverter dan susun atur — supaya anda nampak mana satu yang sebenarnya lebih besar.
Baca juga: Jangan beli sebab murah — selidik dulu barangan solar

Leave a Reply